Gangnam Style ala Gaza

Dalam usaha membendung kesedihan akibat ditindas tentera Yahudi, sekumpulan pemuda Gaza menari ala Gangnam Style yang dipopularkan penyanyi Korea, Psy dan merakamnya menerusi telefon berkamera. Memetik laporan sebuah blog, Hidayatullah.com tarian itu diberi nama 'Gangnam Gaza Style' tetapi ia bukan sekadar hiburan semata-mata. Sebaliknya kumpulan pemuda berkenaan telah menyelitkan tarian itu dengan mesej kesedihan penduduk Palestin yang berterusan ditindas rejim Zionis. 

“Mesejnya adalah mengenai penderitaan kami, tahanan, pengangguran dan semua masalah kami,” kata salah seorang anggota kumpulannya, Walid Afghani. Semua kesulitan warga Palestin digambarkan melalui tarian itu. Misalnya, ada satu keadaan di mana mereka sedang menolak sebuah kereta kerana kehabisan minyak. 

Sambil meniru pergerakan Gangnam Style, setibanya di stesen minyak, ternyata bahan bakar tidak ada. Satu lagi pergerakan mereka beramai-ramai menuju mesin ATM, tapi pada mesin wang itu tidak ada wang. Begitulah antara gambaran kehidupan penduduk Palestin yang mereka adaptasikan mengikut pergerakan tarian Gangnam Style.

Secara menyeluruh, mesej itu bermaksud apapun tekanan hidup di bawah penjajahan Zionis Yahudi tidak selamanya harus dihadapi dengan tangisan oleh penduduk Palestin. Dalam perkembangan lain, dua pemuda Palestin, luka parah akibat tembakan tentera Zionis di timur Bethenun, sebelah utara Semenanjung Gaza. 


Berdasarkan laporan Pusat Informasi Palestin, jurucakap jabatan kesihatan Palestin di Gaza, Asyraf Al-Qudrah memberitahu, salah seorangnya telah ditembak di dada dan kini diberi rawatan rapi di hospital Al-Syifa, Gaza kerana keadaannya yang kritikal. Sementara seorang lagi mangsa diberi rawatan di hospital Bethanun. 

Tentera Zionis turut melancarkan serangan ke atas petani di beberapa ladang termasuk tepi pagar sempadan dan tindakan mereka itu mencabul perjanjian gencatan senjata yang dibuat November tahun lalu. Nampaknya kisah penderitaan di Palestin tidak berkesudahan. Satu demi satu ditimbulkan puak penjajah itu. Sampai bilakah ia akan berakhir? 

Hakikatnya, Israel tidak pernah mahu berhenti daripada melakukan kerakusan. Dan sanggupkah kita di sini sekadar memerhati segala tindakan zalim mereka itu? Justeru, apa usaha kita membantu penduduk Palestin? Hulurkanlah bantuan ke Tabung Kemanusiaan Gaza – Sinar Harian. Sumbangan boleh disalur ke akaun Maybank Sinar Karangkraf tertera. Atau boleh juga hubungi Sekretariat Sinar Harian, di talian 03- 51013888.

PERINGATAN

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.

0 comments