Lagi Kes Pengantin Hilang di Hari Bahagia



Satu majlis perkahwinan terpaksa dilangsungkan di sini sekalipun tanpa kehadiran pasangan pengantin. 

Salmiah Ahmad, 56, ibu kepada pengantin perempuan berkata keluarganya terpaksa meneruskan majlis itu semalam kerana kad jemputan telah diedar kepada saudara mara dan sahabat handai, dan tidak sempat untuk ditarik balik. 

Lagipun, segala urusan untuk kenduri telah dibereskan, katanya. 

Anaknya, Nor Azlina Ismail, 23, keluar meninggalkan rumah Rabu lepas dan tidak pulang hingga semalam. 

Menceritakan dengan lebih lanjut, Salmiah berkata Azlina keluar dari rumah tanpa membawa sebarang beg atau pakaian. 

"Pada hari kejadian, saya dan suami ke mahkamah Jawi kerana ada urusan, manakala Azlina berada di rumah bersama adiknya. 

"Dia suruh adiknya hantar ke jalan besar di hadapan perumahan ini. 
"Dia beritahu adiknya yang dia nak keluar dengan kawan yang bekerja kilang dengannya sebelum ini, tetapi sampai malam Azlina tidak pulang. 

"Ayahnya membuat laporan polis berhubung kehilangannya," kata Salmiah kepada pemberita di rumahnya di Nibong Tebal. 

Salmiah berkata setahunya, Nor Azlina, anak kelima daripada enam beradik itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga atau tunangnya. 

Menurut beliau anaknya memang mahu mengahwini bakal suaminya.

"Azlina sayangkan tunangnya. Mereka dah bertunang tiga tahun," katanya. 

Dalam pada itu, Salmiah berkata keluarganya tidak menolak kemungkinan anak gadisnya itu lari bersama seorang lelaki yang juga jiran mereka kerana lelaki itu juga hilang pada hari yang sama. 

Ayah Azlina, Ismail Saad, 60, pula berkata mereka sekeluarga bimbang mengenai keselamatan Azlina dan merayu anaknya pulang ke pangkuan keluarga. 

"Kalau lelaki itu betul sukakan Azlina, bawalah dia balik ke pangkuan kami dan bincang elok-elok. 

"Kami sekeluarga boleh terima dia dengan baik," katanya.
PERINGATAN

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.

0 comments