Benarkah Diatas Batu Ini Ikan Duyung Yang Sebenar??




Nak percaya atau x nak ni?? 

Baca dulu tentang mitos dan kebenaran kewujudan ikan duyung

DALAM cerita dongeng, ikan duyung sering digambarkan sebagai seorang perempuan yang jelita dengan sebahagian anggota badannya menyerupai ikan. Ikan duyung itu hidup di dasar laut dan dikatakan merupakan seorang puteri yang telah disumpah sebahagian anggotanya daripada paras pinggang hingga ke kaki menjadi ikan.

Cerita mengenai ikan duyung bukan sahaja wujud dalam masyarakat kita tetapi juga dalam hampir semua masyarakat. Dalam mitologi Greek tua, ikan duyung dikatakan selalu menggoda para pelaut yang lalai. Sesiapa yang tergoda akan menemui ajalnya.

Masyarakat Babylon pula menyembah ikan duyung sebagai tuhan atau dewa laut yang dikenali sebagai Oannes atau Ea. Oannes digambarkan sebagai duyung jantan.


Dalam masyarakat Cina, ikan duyung dikatakan mempunyai paras rupa yang cantik dan dianggap sebagai isteri kepada naga laut. Manakala, masyarakat Jepun mengenali ikan duyung sebagai Ningyou dan mempunyai rupa yang hodoh. Menurut ceritanya, pada tahun 1800-an, seorang nelayan telah terpancing seekor haiwan menyerupai ikan duyung di sebuah sungai di Osaka.

Haiwan itu mempunyai ketinggian lebih kurang satu meter dan mengeluarkan bunyi seperti seorang bayi sedang menangis. Ikan duyung yang telah dikeringkan itu mempunyai ketinggian 169 cm dan mengikut catatan orang Jepun, ketinggian sebenar ikan duyung ini ialah tiga meter. Terdapat seekor lagi ikan duyung yang telah diawetkan dan berusia lebih 1400 tahun yang dibawa dari China ke Jepun lebih seratus tahun yang lalu. Ikan duyung itu mempunyai ukuran panjang 120 cm.

Dalam dongeng orang Jerman, ikan duyung dipercayai hidup di dasar Sungai Rhine. Masyarakat Polynesia pula percaya bahawa pencipta mereka yang bernama Vatea wujud dalam bentuk separuh manusia dan separuh lagi bahagian tubuhnya menyerupai ikan lumba-lumba. Dalam mitologi Barat, ikan duyung dikenali dengan beberapa nama seperti Meerymaid, Merrow, dan Muirruhgach.

Di Scandinavia, ikan duyung betina dikenali sebagai Havmand dan ikan duyung jantan dipanggil Havfrue. Kepercayaan mengenai kewujudan ikan duyung juga berlaku dalam kalangan masyarakat India yang menganggapnya sebagai dewi air yang dikenali sebagai Asparas. Begitu juga dengan masyarakat Afrika yang mengaitkannya sebagai isteri kepada bomoh sungai. Mitos dan cerita mengenai ikan duyung juga wujud di alam Melayu yang menghubungkannya dengan sejenis mamalia laut yang dikenali sebagai Dugong. Catatan mengenai penemuan ikan duyung telah dibuat oleh beberapa orang pelayar.

Pada 15 Jun 1608, semasa dalam pelayaran menuju ke Hindia Timur, Henry Hudson telah mendakwa beliau dan beberapa rakannya telah melihat ikan duyung. Dakwaan sedemikian sebenarnya telah acap kali dilaporkan sama ada oleh para pelayar atau pun nelayan.

Namun, dakwaan itu tidak disertai dengan bukti yang konkrit dan fakta yang saintifik sehingga menyebabkan ramai yang kurang mempercayainya. Oleh itu, kewujudannya terus menjadi satu misteri dan teka-teki kepada manusia.

Ada yang berpendapat bahawa ikan duyung hanya wujud dalam khayalan orang dahulu kala. Ikan duyung wujud tetapi bukan dalam bentuk dan rupa seperti yang digambarkan oleh cerita dongeng, mitologi, dan legenda.


Segelintir saintis percaya bahawa ikan duyung merupakan sejenis ikan mamalia yang mempunyai paru-paru. Jadi, dari semasa ke semasa ikan ini akan timbul ke permukaan air untuk mengambil udara. Setiap kali timbul, duyung akan kelihatan seperti seorang manusia. Mereka yang melihat ikan ini dari jauh atau suasana yang berkabus akan menyangka ikan itu seorang manusia yang menyerupai perempuan.

Dengan kata lain, dalam keadaan laut yang luas terbentang, ramai pelayar dan nelayan boleh ‘tertipu’ dengan pemandangan mereka sendiri. Oleh itu, ramai yang menyangka telah melihat ikan duyung. Sangkaan itu kemudiannya disebarkan sebagai cerita yang kemudian ditokok tambah oleh para pelaut. Bagi para pelaut, menjadi satu kebanggaan dan kemegahan untuk memperbesar-besarkan kejadian aneh yang pernah dialaminya semasa pelayaran.

Terdapat sejenis ikan mamalia yang akan mendukung anaknya setiap kali menyusu dengan menggunakan kepak. Apabila pelaut terlihat perbuatan itu, mereka menyangka ikan duyung itu seorang perempuan. Padahal mereka tidak menyedari bahawa mereka ditipu oleh pemandangan mata mereka dan perbuatan mamalia laut tersebut.

Perbuatan singa laut dan dugong kadangkala menimbulkan ilusi kepada para pelaut dengan sesetengah tingkah-lakunya yang menyerupai manusia. Namun, ini tidak bermakna bahawa makhluk air yang aneh tidak wujud. Banyak penemuan terhadap hidupan air yang aneh telah dilaporkan termasuk juga dinosaur Nessie yang dikatakan tinggal di dalam sebuah tasik.

Pada September 1929, seorang nelayan telah menangkap seekor haiwan yang berupa duyung. Haiwan itu mempunyai ekor seperti ikan dan kepala seperti anjing. Tetapi muka haiwan itu menyerupai muka manusia. Berat haiwan itu ialah 80 kilogram dan rupa bentuknya kelihatan aneh serta menakutkan. Pada tahun 1833, di Kepulauan Yell, sekumpulan enam nelayan telah mendapati seekor ikan duyung tersangkut pada tali pancing mereka. Ikan duyung itu mempunyai ketinggian tiga kaki. Tidak sebagaimana ikan biasa, makhluk ini tidak mempunyai insang, sirip, dan sisik pada tubuhnya. Haiwan itu kemudiannya dilepaskan ke laut, terus menyelam, dan menghilangkan diri.

Apakah makhluk yang ditemui oleh para nelayan itu merupakan ikan duyung? Sukar untuk memberikan jawapannya kerana mereka telah melepaskan bahan bukti yang cukup penting untuk mengesahkan dakwaan mereka. Walau apa pun tanggapan dan pandangan kita mengenai ikan duyung, kewujudan makhluk itu akan tetap terus menjadi satu misteri dan mitos yang diperkatakan daripada satu generasi ke generasi yang lain.

p/s Mungkinlah duyung tu benar2 wujud , namun hanya orang2 tertentu saja yang boleh melihatnya . Dan kemungkinan jika duyung wujud bererti makhluk tersebut adalah Jinn , . Jinn kelebihannya boleh menyerupai apa saja kecuali nabi2 allah Wallahuallam... 

PERINGATAN

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.

0 comments