Moulton – Polis tidak perlu mencari jauh untuk mengesan lelaki yang disyaki merompak sebuah bank di Alabama.
Ini kerana perompak berkenaan sudah bersedia menanti mereka di luar bank berkenaan.
Kerana bimbang hilang pekerjaan akibat kecederaan kaki dan mahu mengelak daripada hidup berkeliaran tanpa rumah, lelaki itu bertindak merompak supaya boleh masuk penjara.
“Dia begitu yakin tindakannya itu akan membolehkan dia mendapat tempat tinggal dan makan percuma,” kata Ketua Polis Moulton, Lyndon McWhorter.
Lelaki itu, Rickie Lawrence Gardner, 49, yang kini ditahan di penjara Moulton dikatakan memasuki bangunan Bank Independent kelmarin dan menyerahkan nota berbunyi:
“Saya memiliki senjata. Beri wang anda.”
Dia mengarahkan petugas memasukkan wang ke dalam beg dan kemudian berjalan keluar dari bank bersama-sama wang lebih AS$4,000 (RM12,723) menuju ke keretanya. Dia meletakkan beg itu di tempat duduk penumpang lalu mengunci kenderaan sebelum menghala ke bangku berhampiran untuk menanti ketibaan polis.
Gardner memberitahu polis, kakinya cedera teruk akibat kemalangan jalan raya dan bimbang hilang pekerjaan.
Menurut McWorther, Gardner menyebut senjata dalam nota itu walaupun tidak memilikinya kerana menyangka ia akan menyebabkan dia dihukum lebih berat.
0 comments