Video: Pesakit Main Gitar Ketika Dibedah


Los Angeles – Sebuah hospital semalam mencipta sejarah kerana menyiarkan secara langsung pembedahan otak pesakit mereka melalui kemudahan perkongsian video terkini Twitter, Vine.

Melalui siaran langsung itu, orang ramai dapat melihat Brad Carter, 39, gembira memetik gitar di atas katil ketika doktor membedah kepalanya.

Dalam pembedahan itu, pakar bedah memasukkan perentak (pacemaker) ke otak Carter bagi mengatasi kesan penyakit Parkinson dialaminya. Tidak sesuai untuk orang yang lemah semangat, tweet mengenai pembedahan itu turut disertakan dengan video memaparkan setiap tahap prosedur berkenaan.

Walaupun klip itu cuma singkat, kandungannya tetap mengerikan. Carter disahkan menghidap Parkinson selepas dia mengalami masalah goyangan tangan tak terkawal pada 2006 yang menyebabkan dia tidak mampu bermain gitarnya.

Pembedahan itu membabitkan rangsangan di kawasan otak dan mengimplan perentak otak bagi merawat pergerakan tangan Carter.

Ketika pembedahan berlangsung, Carter tidak dibius keseluruhan badan bagi membolehkan dia bermain gitar dan membantu doktor meletakkan elektrod ke tempat yang tepat. Siaran langsung itu diadakan kerana meraikan pembedahan otak ke-500 di Pusat Perubatan UCLA Ronald Reagan.

Ketika kepalanya dibedah, Carter bukan saja boleh bermain gitar, malah mampu menyanyi ketika doktor selesai meletakkan beberapa elektrod ke tempat otaknya. Bercakap kepada kamera, Carter berkata, dia teruja untuk bermain gitar semula.

“Ini adalah lagu asli berjudul Mabuk Kembali,” katanya. – Daily Mail

PERINGATAN

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.

0 comments